|
|
|
9:55 a.m. - Wednesday, Nov. 30, 2005 “Ingatlah.. kebaikan orang kepada kita & kejahatan kita kepada orang.. dan lupakanlah.. Mudah disebut, tetapi sejauh manakah kita mampu mengamalkannya. Semuanya bergantung kepada keikhlasan dan kesucian hati. Tanpa hati yang bersih, hati cenderung dipengaruhi nafsu amarah dan hasutan syaitan. Saja nak berkongsi di sini, petikan dari ceramah motivasi Dr Fadzilah Kamsah yang mengatakan umat Islam hari ini sering meninggalkan elemen penyucian hati dalam doa masing-masing. Kita sendiri menyedari bahawa hati sebagai tempat bermula segala-galanya namun tonggak yang satu itu jarang disucikan seumpama kita menyuci anggota wuduk setiap hari. Bukan taraf kita untuk disucikan hati dengan air zam-zam seperti yang dilakukan Jibril kepada Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW. Sucikanlah hati dengan amalan-amalan zikir, membaca Al-Quran, solat malam dan lain-lain lagi. Kebaikan orang pada kita perlu dikenang dan usah dipersoalkan keihklasan mereka. Itu urusan mereka dengan Allah. Jadikan kebaikan tersebut sebagai contoh untuk kita berbuat kebaikan di lain masa. Kejahatan kita mesti diingat selalu supaya jangan diulangi di lain kali. Jahat tetap jahat dan kejahatan itu dosa balasannya. Taubat kita belum tentu diterima Allah. Kebaikan kita pada orang usah dikenang-kenang kerana kebaikan itu pun belum tentu diterima Allah dan belum tentu ada pahalanya, andai tidak.. . kita boleh dikirakan sebagai seorang yang riak dan riak itu adalah sehalu-halus syirik dalam Islam. Kejahatan orang pada kita dilupakanlah.. berbaik sangkalah dan positif bahawa mereka mempunyai sebab musabab tertentu yang menyebabkan mereka tergelincir. Kasihanilah mereka ini atas kejahilan mereka dan doakanlah agar mereka insaf. Bukan hak kita untuk membalas, sedangkan Rasulullah SAW sendiri tidak pernah membalas kejahatan orang. Yakinlah pada keadilan dan janji Allah. Mungkin bukan di dunia tapi di syurga tempat di mana setiap insan menanti pembalasan. Dalam usia yang semakin meningkat tua ini, masihkah mampu membentuk hati yang telah terbiasa dengan kemungkaran? Sukar diperjelaskan secara logik, hanya taufik dan hidayah Allah mampu mengubah segalanya berbekalkan sedikit usaha. Berdoalah dan teruslah berdoa agar hidup ini terus terpimpin ke jalan yang diredhai. Berdoalah agar hati kita tidak putus asa untuk terus berharap dan berusaha menuju Mardhatillah. Berdoalah agar kita dijauhkan dari perkara-perkara yang bakal melalaikan kita dari mengingatiNya. Percayalah, adakalanya kita akan kalah, kita akan rebah akibat iman yang senipis kulit bawang, kita tergelincir dan terpseong. Bukan sekali, bukan 2 kali tapi pastinya beratus-ratus kali. Segeralah bertaubat dan jangan putus asa dan terus menyalahkan diri sendiri. Usaha tetap usaha dan Allah tidak menilai hambaNya hanya pada hasil tetapi pada usaha yang dicurahkan. Allah Maha Pengasih, kasih yang agung, terlalu agung untuk jangkauan akal fikiran kita yang sekadar insan kerdil yang menumpang di bumi Allah. “Jangan pasrah dengan setiap doa yang tidak dimakbulkan, mungkn ALLAH ingin menguji setakat mana insan mampu bertahan denganNYA “ Memelihara hati bukannya mudah. Doa sahaja tidak mencukupi melihatkan pada tahap kita sebagai insan biasa yang bukan maksum. Bagaimana cara berdoa & bertawassul yang sebaiknya? Pernah terdengar cerita tentang 3 orang lelaki yang terperangkap dalam sebuah gua? Mereka berdoa kepada Allah dengan menyuarakan keinsafan dan mengenangi amal kebaikan yang telah lepas. Andainya amalan tersebut diberkati, jadikannya sebagai penolong atau pemangkin untuk membuka pintu gua tersebut. Maka seorang demi seorang menyuarakan doa mereka dan pintu gua akhirnya terbuka cukup untuk mereka melepaskan diri. Bertawassul seperti ini bukanlah bermaksud untuk mengungkit2 dan bukan terhad setakat mengenangi amalan lepas. Mungkin kita boleh lakukan amalan lain pada masa akan datang contohnya memperbanyakkan amalan sedekah atau solat sunat dengan harapan kalau ada pahala pada amalan tersebut, semoga Allah menjadikkannya sebagai kekuatan untuk kita mencapai apa yang kita doakan atau impikan tersebut. Amalan-amalan tersebut mungkin pada satu sudut seperti amalan bersebab, kalau tak bersebab.. kita tak buat. Nampak tak elok. Tapi itu lah yang dinamakan usaha, setidak-tidaknya ada kita buat dari kita tak buat apa-apa langsung. Insya Allah bila sering dilakukan, akan berjaya menjadi amalan rutin dan mendidik jiwa kita kelak tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Semoga kita semua mendapat petunjuk Allah menjadi insan yang punya hati mulia dan redha.
|